Dalam masa sama, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu juga bermakna rakyat kini akan menilai sejauh mana BN menunaikan janji dan harapan yang dibuat kepada pengundi Semenyih sepanjang PRK berkenaan.

Dari sudut Pakatan Harapan (PH), tambahnya, pakatan itu akan terus berusaha untuk menyatupadukan rakyat di sebalik kekalahan tersebut.

“Harapan pengundi di Semenyih kini adalah untuk melihat BN menunaikan janji yang dibuat terhadap mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam PRK DUN Semenyih semalam, BN menerusi gabungan UMNO-Pas berjaya merampas kerusi itu selepas calonnya, Zakaria Hanafi memperoleh sebanyak 19,780 undi.

Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi selepas menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat sebanyak 17,866 undi dan dua lagi calon iaitu dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng (725). - UTUSAN ONLINE