Guan Eng berkata, bekas Perdana Menteri itu menerusi hantaran Facebook rasminya sebelum ini telah membuat kesilapan kerana UIM sememangnya sebuah kolej swasta tidak berasaskan keuntungan yang beroperasi di Cyberjaya, dekat sini.

“Amatlah dikesali bahawa beliau tidak tahu perbezaan di antara UIM dan UIAM sungguhpun telah memegang jawatan kerajaan sekian lama dan berkhidmat di Putrajaya selama lebih 20 tahun.

“Mustahil seorang bekas Perdana Menteri tidak tahu tentang kewujudan institusi yang begitu bersejarah, atau pura-pura tidak tahu semata-mata untuk berpolitik?,” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najib baru-baru ini membuat satu hantaran Facebook yang mempersoalkan kefahaman Guan Eng tentang perbezaan antara kolej swasta dengan universiti awam milik kerajaan.

Pada hantaran itu, Najib menyifatkan tindakan Guan Eng membandingkan peruntukan untuk tiga kolej universiti swasta dengan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada UIAM adalah tidak masuk akal dan agak memperlekehkan rakyat.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada UIM yang berstatus universiti swasta dan tidak bermotifkan keuntungan.

Untuk rekod, UIM ditubuhkan di Cyberjaya pada 2012, apabila Kolej Islam Malaya iaitu sebuah institusi pengajian Islam dengan sejarah panjang melahirkan ramai tokoh-tokoh di Malaysia, dinaiktaraf dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut mempersoalkan sama ada Najib tidak membaca dengan teliti dahulu sebelum membuat tuduhan seumpama itu.

“Sekarang siapa yang membuat kenyataan yang tidak masuk akal dan agak memperlekehkan rakyat? Seharusnya Najib memohon maaf atas kesilapannya tetapi saya yakin beliau tidak akan berbuat demikian kerana beliau rasa tidak boleh buat salah (can do no wrong),” katanya. - UTUSAN ONLINE