Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, agak pelik apabila Guan Eng memberi contoh nilai mata wang Ringgit kini hanya lemah sebanyak 2.2 peratus sejak akhir tahun 2017 dan lebih baik berbanding mata wang dari negara-negara yang lain dan ini menunjukkan kepercayaan pelabur kepada kerajaan baharu.

“Sebelum ini, beliau salah titik perpuluhan. Selepas itu, Guan Eng berkata dia salah faham tentang barang basah dan oleh itu telah ‘hantam’ cukai jualan 10 peratus ke atas barang basah.

“Kini Guan Eng salah tarikh pula, kerajaan tukar bukan pada akhir tahun 2017 tetapi pada 9 Mei 2018,” katanya menerusi Facebook beliau, hari ini.

Menurut Najib, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), iaitu sejak akhir tahun 2017, nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semakin mengukuh.

“Selepas PRU-14, aliran ini jelas berubah dan ringgit semakin lemah sehingga kini iaitu dari RM3.85 pada bulan April sebelum PRU-14 kepada RM4.15 pada masa ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE