Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, internet tidak pernah lupa dengan setiap fakta yang dikeluarkan oleh para pemimpin termasuk daripada Guan Eng.

"Tidak perlu untuk mengulas panjang lebar jika mahu mematah ketidakjujuran beliau. Kita hanya perlu merujuk kepada kenyataan Guan Eng sendiri pada masa silam di mana hanya satu penjualan tanah ini sahaja sudah 99.2 hektar (245 ekar).

"Biar Guan Eng bongkarkan Guan Eng. Sebenarnya, selama 10 tahun ini, kerajaan Pulau Pinang di bawah beliau sudah menjual dan memberi tanah ataupun hak tanah milik kerajaan negeri sebanyak 2,337.5 hektar, bukan 43 hektar seperti yang didakwa beliau," katanya dalam status Facebook beliau, hari ini.

Khamis lalu, Guan Eng membidas Najib yang mendakwa prestasi kewangan Pulau Pinang yang memberangsangkan sejak 10 tahun lepas di bawah pentadbiran beliau sebagai ketua menteri adalah disebabkan penjualan tanah kerajaan.

Katanya, Pakatan Harapan hanya menjual 42.90 hektar atau 36 kali ganda kurang berbanding 1,481.55 hektar tanah yang dijual kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. - UTUSAN ONLINE