Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr.  Wee Ka Siong berkata, hal ini amat serius kerana secara teknikal dan kewangannya membuktikan bahawa CRCC dan sebuah lagi firma China, Beijing Urban Construction Group (BUCG) tidak lagi terlibat dengan projek berkenaan.

Malah, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu, Sri Tinggi Sdn. Bhd. iaitu salah sebuah syarikat yang didakwa Guan Eng terlibat dalam projek terowong dasar laut  tersebut juga tidak lagi merupakan pemegang saham manakala sebuah syarikat lain, Juterasi Sdn. Bhd. didapati tidak lagi beroperasi.

“Ini bermaksud daripada lima pihak yang didakwa terlibat dalam projek berkenaan, hanya Zenith Construction Sdn. Bhd. yang baru berusia 82 hari dengan modal berbayar RM300,000 kekal menjadi kontraktor tunggal dalam projek itu. Di sini Guan Eng perlu membuktikan CRCC telah dibayar lebih daripada RM3 juta selain membuktikan firma itu tidak menghentikan kerja di tapak projek.

“Dalam hal ini, secara tidak langsung kerajaan DAP Pulau Pinang yang diketuai DAP itu telah  menyerahkan projek bernilai RM6.34 bilion kepada syarikat yang hanya berusia 82 hari. Ini mungkin membawa erti syarat kelayakan tender projek kerajaan DAP Pulau Pinang dengan modal berbayar sekurang-kurangnya RM381 juta tidak lagi dilaksanakan kerajaan negeri itu,” katanya dalam  satu kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE