Lim Guan Eng

Malah, beliau turut bertegas pemberian kontrak bagi projek itu dibuat melalui proses pemilihan tender terbuka serta penilai­an firma juruaudit antarabangsa.

“Melainkan mahkamah me­ngarahkan projek itu dibatalkan, jika tidak kita akan tetap meneruskannya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, sekum­pulan pegawai SPRM menyerbu tujuh lo­kasi di negeri ini termasuk empat pejabat Kerajaan DAP Pulau Pinang dan tiga pejabat pemaju dan konsultan yang ada kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Lanjutan serbuan itu, dua eksekutif kanan syarikat pemaju direman selama enam hari masing-masing di sini dan di Putrajaya bermula hari ini bagi membantu siasatan SPRM berhubung projek ber­nilai lebih RM6 bilion tersebut.

Sementara itu, Guan Eng menegaskan projek yang di­rancang Kerajaan DAP Pulau Pinang tersebut tidak hanya membabitkan terowong dasar laut, sebaliknya turut meliputi pembinaan tiga lebuh raya.

Ujarnya, pembinaan tiga lebuh raya itu juga bakal diteruskan selepas Kerajaan DAP Pulau Pinang mendapat kelulusan penilaian kesan impak alam sekitar (EIA) projek tersebut.

Berhubung tindakan SPRM ketika ini, Guan Eng berkata, kerajaan negeri sudah bersedia dengan siasatan tersebut sejak 2016.

Bagaimanapun, beliau me­ngakui pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat atau dimaklumkan berhubung tindakan SPRM menyerbu beberapa lokasi di sekitar negeri ini semalam.