Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam kenyataan berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mempertahankan tindakan anaknya, Lim Guan Eng yang kini merupakan Menteri Kewangan untuk membongkarkan kepincangan kerajaan terdahulu sepatutnya turut menggesa kes-kes lain yang tidak mendapat pembelaan sepatutnya dibuka semula.

Kata kenyataan itu, kerajaan Pakatan Harapan kini juga terlalu ingin menyalahkan kerajaan terdahulu dengan mengizinkan siasatan semula ke atas kes Altantuya Shariibuu dan Tan Beng Hock kerana mendakwa ia akan memberi platfom politik dan diplomatik yang kuat kepada mereka.

"Mengapa Kit Siang tidak menyentuh langsung tuntutan agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai peristiwa Memali, skandal tukaran asing (forex), dakwaan Dr. Mahathir mempunyai simpanan RM83 bilion di luar negara serta kekayaan anak-anaknya?

"Mereka tidak langsung memikirkan untuk membuka semula kes-kes lain yang mungkin tidak mendapat pembelaan sewajarnya di mahkamah. Mereka sebenarnya tidak peduli dengannya dan hanya merujuk kepada kes berprofil tinggi," kata kenyataan itu, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE