Meskipun memegang jawatan itu secara tidak sah hampir lima tahun selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan pemilihan CEC DAP pada Disember 2012 dan pemilihan semula pada September 2013 tidak sah, Ketua Menteri Pulau Pinang itu tetap memperoleh undian ketiga tertinggi iaitu 1,080 undi dalam pemilihan semula jawatankuasa itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Ini bermakna, Guan Eng akan terus memegang jawatan itu hingga tahun 2020 walaupun beliau berada di belakang Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo yang memperoleh 1,198 undi dan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP.

Sementara itu bapanya, Lim Kit Siang yang memperolehi undi tertinggi iaitu 1,199 undi sekali gus mengekalkan jawatan sebagai Ketua Parlimen DAP.

Bagi jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP pula, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang memperolehi 1,021 undi dipilih untuk memegang jawatan itu.

Wakil Melayu dalam jawatankuasa CEC DAP 2017 pula ialah Ahli Parlimen Bukit bendera, Zairil Khir Johari yang dipilih menjadi Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP selepas memperoleh 649 undi manakala Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang merupakan antara 10 calon lantikan dipilih sebagai Naib Pengerusi parti pembangkang itu.

Keputusan itu diumumkan Speaker Kongres Khas DAP untuk pemilihan semula CEC itu, Hannah Yeoh selepas berakhirnya proses pengiraan undi dan pemilihan jawatankuasa berkenaan.

Terdahulu, dalam pemilihan semula CEC hari ini menyaksikan kebanyakan barisan kepimpinan lama kekal dengan hanya dua muka baharu dipilih.

Mereka yang baharu ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu Tian Khiew dengan undi 688 dan Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar (586).

Sebanyak 1,346 kertas undi dikeluarkan dengan 1,310 adalah undi manakala 36 lagi adalah undi rosak.