Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Guan Eng lebih berminat untuk menggunakan kenyataan akhbar berbanding berdebat secara terbuka kerana beliau tahu hujah-hujah lemah berkaitan isu tersebut yang digunakan untuk mempertahankan diri selama ini akan dipatahkan dengan mudah dalam sesi debat terbuka.

“Saya faham beliau tidak mahu berdebat kerana beliau tahu akan kalah, tetapi saya terkejut melihat kenyataan akhbar yang dikarang begitu panjang sehingga lima muka surat.

“Kalau takut, cakap sahaja anda takut. Tak perlu penjelasan yang begitu panjang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mencabar Guan Eng untuk berdebat dalam sebuah kenyataan Isnin lalu setelah kedua-duanya berbalas kenyataan akhbar selama kira-kira sebulan berkenaan isu tersebut. - UTUSAN ONLINE