Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang menyifatkan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak layak berdebat dengannya kerana tidak memegang jawatan nombor satu dalam parti hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai ketelusan projek tersebut.

“Kita hanya mahu Guan Eng menjawab isu yang timbul. Jangan lari dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah,” katanya selepas merasmikan tren baharu KLIA Ekspres di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden MCA berkata demikian sebagai mengulas tindakan Guan Eng yang menolak pelawaan debat oleh Ka Siong dengan alasan tidak mahu merendahkan martabat jawatan Setiausaha Agung DAP yang disandangnya sejak 2005.

Menurut Tiong Lai lagi, sikap angkuh Guan Eng itu turut membuktikan prinsip Cekap, Akauntabliti dan Telus (CAT) yang dilaungkan DAP selama ini hanya omongan kosong.

Dalam pada itu, ditanya mengenai desas-desus kerusi Parlimen Bandar Tun Razak akan diserahkan kepada UMNO dalam pilihan raya umum akan datang, Tiong Lai yang enggan mengulas lanjut berkata, isu tersebut hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat komponen Barisan Nasional (BN) dan bukan melalui media massa.-UTUSAN ONLINE.