AZHAR HARUN
AZHAR HARUN

Peguam, Azhar Harun berkata, meskipun Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap rakyat Malaysia untuk menggunakan bahasa ibunda mereka, namun beliau menegaskan bahawa bahasa rasmi negara ini adalah bahasa Malaysia.

“Tindakan mengeluarkan kenyataan media dan mengadakan sidang akhbar adalah sebahagian daripada tugas rasmi anda.

“Jadi, jangan jadi angkuh dan bersikap acuh tak acuh mengenai isu ini. Anda sedang melampaui batas, ada had untuk ‘Malaysia baharu’,” katanya menerusi akaun Facebook beliau, hari ini.

Hari ini, Guan Eng mendakwa, kenyataan Menteri Kewangan selepas ini akan tetap terus dikeluarkan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris apabila perlu walaupun dikritik pelbagai pihak.

Guan Eng mendakwa, mereka yang membuat kenyataan itu bersikap rasis dan beliau tidak akan tunduk kepada desakan tersebut.

Azhar yang juga dikenali sebagai ‘Art Harun’ meminta Guan Eng untuk menjalankan tugasnya sebagai menteri seperti yang sepatutnya.

“Saya bukan rasis malah saya juga tidak bercakap mengenai hak-hak orang Melayu atau memartabatkan Bahasa Melayu, namun tolonglah melaksanakan tugas anda sebagai menteri seperti yang sepatutnya.

“Lagipun, anda sebelum ini dengan rasa bangga pernah menyatakan bahawa “Saya bukan orang Cina, saya orang Malaysia”, anda menunjukkan isyarat yang salah dan sikap yang salah.

“Apa sebab mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin sedangkan bahasa rasmi negara ini adalah bahasa Malaysia,” katanya.