ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM

Abdul Azeez berkata, beliau juga menuntut Setiausaha Agung DAP itu menarik balik semua kenyataannya fitnah yang mengaitkan nama beliau dengan tuduhan kononnya beliau menerima bayaran RM3 juta dan surat tuntutan daripada Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd.(Zenith) berhubung kerja-kerja rundingan berkaitan projek tero­wong dasar laut di Pulau Pinang.

Selain itu, Abdul Azeez juga menuntut Guan Eng mendedahkan sumber maklumat mengenai surat peguam yang dihantar oleh peguam Zenith pada 23 Februari lalu yang ditularkan dengan lebih awal sedangkan beliau hanya menerima surat tersebut pada 28 Februari.

“Surat tuntutan untuk Guan Eng nyatakan permohonan maaf secara terbuka kerana memfitnah saya telah dihantar ke pejabat Ke­tua Menteri dan rumah beliau di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang semalam.

“Jika tuntutan saya ini tidak dipenuhi dalam tempoh empat hari tindakan saman fitnah akan diteruskan terhadap Guan Eng bagi memastikan nama saya dibersihkan daripada fitnah yang dibuat,” katanya dalam sidang akh­­bar di bilik media bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO membuat laporan polis berhubung tuduhan kononnya beliau menerima bayaran RM3 juta dan surat tuntutan daripada Zenith berhubung kerja-kerja rundingan berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Zenith kelmarin menerusi peguam mereka menarik balik notis tuntutan yang dihantar kepada Abdul Azeez berhubung dakwaan menerima RM3 juta berkaitan projek tersebut.

“Perkara ini bukan main-main kerana saya tidak ada kena-mengena serta urusan dengan Zenith tetapi banyak kali Guan Eng sebut nama saya seolah-olah mahu kelirukan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng ketika ditemui di Parlimen berkata, beliau tidak akan memohon maaf, sebaliknya akan berdepan dengan tuntutan saman tersebut.

“Minta maaf pada Abdul Azeez? Tolonglah. Itu hak dia (untuk saman),” katanya.