Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa kerajaan ne­geri itu akan berterusan menye­rang bagi menanam kebencian dalam kalangan rakyat Sarawak terhadap Kerajaan Pusat.

Menurutnya, Kerajaan Pusat terbuka menerima kritikan daripada pihak-pihak lain termasuk kerajaan-kerajaan negeri tetapi perlulah mengikut fakta dan ang­ka yang tepat.

“Dakwaan Sarawak bahawa kementerian membayar cukai itu kepada Sabah adalah tidak benar, malah Sabah sendiri mengakui tidak menerima apa-apa dana cukai pelancongan. Semua negeri pun tidak dapat lagi kerana kita perlu melakukan semakan akhir akaun.

“Apakah Sarawak tidak mahu mengakui kesalahan mereka? Pastinya tidak... sebaliknya mereka akan serang sahaja untuk menanam kebencian dalam kalangan rakyat Sarawak terhadap Pusat sehingga mereka menggunakan dakwaan palsu untuk capai matlamat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Pondok Berdaftar di sini hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew semalam dilaporkan sebagai berkata, negeri itu masih belum menerima 50 peratus daripada hasil cukai pelancongan daripada Kerajaan Pusat bagi menjelaskan kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa Sabah telah menerima cukai pelanco­ngan daripada Kerajaan Persekutuan.