Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Guan Eng cuba mengitar semula isu apabila mengaitkan dirinya konon cuba menjatuhkan Farizan dengan menuduh pemilihan syarikat yang dilantik dalam projek tersebut tidak adil dan tidak mematuhi syarat kelayakan modal berbayar sebanyak RM381 juta.

Malah, katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Setiausaha Agung DAP itu juga cuba menggambarkan bahawa tiada penglibatan ahli politik daripada parti berkenaan dalam menentukan syarikat kontraktor yang dilantik dalam projek tersebut.

“Kenyataan dan persoalan saya adalah secara terus menerus kepada Guan Eng sendiri dan tidak kepada setiausaha kerajaan negerinya. Tindakan Guan Eng yang berterusan me­nyatakan saya cuba menjatuhkan setiausaha kerajaan negeri adalah merupakan satu pembohongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Guan Eng dalam laman Facebook mencabar Ka Siong mengemukakan bukti kononnya modal berbayar minimum RM381 juta yang menjadi syarat bidaan secara tender terbuka bagi projek pintasan tiga lebuh raya dan terowong dasar laut di Pulau Pinang tidak dipenuhi.

Kata Guan Eng, isu projek terowong dasar laut bukan sahaja menyerang peribadinya, malah seakan menyerang Farizan yang mempengerusikan jawatankuasa perolehan serta pemilihan pemaju secara tender terbuka.

“Ingat, projek ini dibuat secara tender terbuka. Jawatankuasa Lembaga Perolehan Ne­geri dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Tentunya beliau (Farizan) akan memastikan modal berbayar dipenuhi oleh syarikat (pembida) dengan jumlah minimum RM381 juta, sebelum beliau timbang (secara tender terbuka) sama ada nak beri kepada syarikat terbabit atau tidak,” kata Guan Eng.

Dalam pada itu, menurut Ka Siong, hanya segelintir pihak yang akan percaya bahawa skandal projek terowong dasar laut tidak melibatkan ahli-ahli politik DAP.

Katanya, Guan Eng seolah-olah mahu cuci tangan dengan menuduh skandal projek tersebut dan syarikat tujuan khas berkaitan dengan UMNO.