Khairy berkata, walaupun keputusan itu bermakna BN Sarawak yang dibina selama lebih setengah abad telah berakhir, tetapi beliau memahami sebab parti-parti komponen di negeri itu terpaksa mengambil keputusan tersebut.

"Saya menyambut keputusan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk meninggalkan BN dengan hati yang terbuka dan mengucapkan selamat maju jaya kepada gagasan baharu yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.

Abang Johari hari ini mengumumkan kerajaan negeri Sarawak keluar daripada BN untuk menubuhkan GPS.

Kata Abang Johari, keputusan itu adalah sebulat suara oleh empat parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Sarawak pagi tadi. - UTUSAN ONLINE