Dan begitu juga Pas, UMNO, DAP, MCA, PKR, PAN hatta PPBM. Kesemuanya hidup kerana matlamat perjuangan. Namun matlamat itu harus mengambil kira keadaan pola penduduk dan keharmonian di negara ini.

Dalam konteks perjuangan Islam, Pas dan UMNO mempunyai matlamat yang jelas. Kedua-dua parti ini bukan hidup sehari dua.

Sudah lebih suku abad berjuang biarpun pemimpinnya silih berganti tetapi matlamatnya tidak pernah berubah demi agama dan tanah air.

Justeru, Pas meneruskan perjuangan bagi memastikan matlamatnya untuk menegakkan ­syiar Islam di Kelantan tercapai. Dan semalam, parti itu sekali lagi mencipta sejarah apabila usul yang dibawa oleh kerajaan pimpinan mereka untuk meminda Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan diluluskan.

Sebanyak 33 fasal dalam enakmen tersebut dipinda bagi memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 (Pindaan 1987) dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) - yang masih terikat dengan kelulusan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 diluluskan di Parlimen - dilaksanakan dengan lancar.

Di antara pindaan tersebut adalah hukuman sebat dikhalayak ramai, membenarkan penguat kuasa menggunakan gari dan video sebagai bukti dalam perbicaraan di mahkamah.

Dan UMNO memberikan sokongan kerana pindaan tersebut untuk memperkukuhkan syariat Islam selaras dengan matlamat perjuangan parti itu biarpun pendekatan politik Pas sedikit berbeza dengan mereka.

Namun pindaan itu tidak dilihat secara menyeluruh oleh parti yang berteraskan bukan Islam se­perti DAP, MCA dan Gerakan serta golongan yang dilabelkan sebagai 'Islam Liberal'.

Mereka lebih berminat untuk 'geger' (membuat bising dalam loghat Kelantan) tentang hukuman sebat di khalayak ramai daripada keseluruhan pindaan tersebut. Justeru, pelbagai tuduhan dilemparkan.

Ada yang mengatakan bahawa Pas hanya berminat pada hukuman semata-mata, pindaan untuk menarik sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) dan pindaan itu bertentangan dengan perlembagaan.

Reaksi itu tidak pelik. Sememangnya sejak dari dahulu lagi mereka begitu. Mereka akan bising apabila setiap perkara yang membabitkan Islam walhal pelaksanaan hukuman itu hanya melibatkan umat Islam. Kenapa mereka bising?

Apakah mereka juga terdesak untuk mendapatkan sokongan terutama daripada golongan Islam liberal menjelang edah pilihan raya umum yang akan berakhir tidak lama lagi?. Apakah mereka ini golongan yang bebal kerana sudah berkali-kali diberikan penjelasan yang sama tetapi masih lagi tidak mahu memahaminya.

Islam itu indah. Hukumannya untuk mengajar dan menimbulkan rasa gerun. Pada zaman Rasulullah SAW dahulu pun tidak ramai yang dihukum kerana ramai yang gerun mendengar hukumannya. Dan untuk menjatuhkan hukuman juga bukan satu perkara yang mudah. Proses itu amat teliti bagi memberikan keadilan kepada semua.

Pas wajib melaksanakan hukum Islam di negeri ini kerana janjinya kepada majoriti rakyat Kelantan yang memililihnya untuk menjadi kerajaan.

Ini kerana ia berbalik kepada konsep penubuhan sebuah parti iaitu mencapai matlamat yang sama setiap anggotanya dan tujuan itu diterima oleh rakyat.

Sekiranya Pas gagal untuk melaksanakan undang-undang Islam selepas diberi peluang lebih dari suku abad oleh rakyat malah tiada lagi halangan yang besar maka pemimpin parti itu adalah pembohong besar.

Justeru persetankan golongan geger yang bebal ini kerana amanah rakyat lebih besar dari dua tiga kerat manusia tersebut.