Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pierre-Olivier Deplanck berkata, ruangan khas tersebut membolehkan para pengguna mendapatkan produk seperti rempah-ratus, herba dan campuran sos tempatan dari seluruh negara.

"Kami juga amat komited dalam menyokong PKS tempatan di Perak. Pembekal sayur-sayuran kita termasuklah jenama seperti Agroto di Lembah Kinta, Global Green Farm di Jalong dan Ming Huat di Menglembu.

"Pembekal ikan tempatan kita pula dari Q-Yin Marine dari Hutan Melintang. Usaha sama menang-menang ini bukan sahaja membantu PKS tempatan memperkembang pasaran mereka, malah pengguna Giant turut dapat menikmati lebih banyak pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Giant Falim merangkumi kawasan seluas 102,794 kaki persegi dengan menempatkan 50 ruang perniagaan di bawah satu bumbung di sini hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Basaruddin Sadali dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Amaxmall Sdn. Bhd., Datin Dr. Nik Sarina Hashim.

Giant Falim yang mula dibuka kepada orang ramai sejak seminggu lalu, menawarkan lebih 23,000 produk melibatkan 174 kategori, selari dengan slogan mereka iaitu 'lebih banyak pilihan, lebih nilai'. - UTUSAN ONLINE