Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, ini kerana terdapat bukti jelas golongan Bumiputera masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini.

Tambahnya, penglibatan Bumiputera dalam sektor ekonomi adalah penting untuk memastikan kesaksamaan pembahagian kekayaan negara dapat dikecapi semua rakyat, bukan lagi hanya berlegar dalam kalangan elit dan kroni.

“Meneruskan dan menambah baik pelaksanaan agenda Bumiputera untuk membela kepentingan dan keperluan masyarakat Bumiputera harus menjadi keutamaan kerajaan Pakatan Harapan.

“Langkah ini bukan saja mampu menambah baik kehidupan rakyat, tetapi pada masa sama dapat merapatkan jurang pendapatan antara kaum, antara yang kaya dan miskin sekali gus mewujudkan rasa kesaksamaan dalam kalangan rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menyokong kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menggesa Kerajaan Pusat tidak lagi `apologetik’ dalam melaksanakan janji yang melibatkan agenda Melayu dan Bumiputera ekoran kekalahan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih baru-baru ini.

Menurut Mohamed Azmin, kekalahan PH itu merupakan mesej jelas rakyat supaya kerajaan segera bertindak menyelesaikan masalah dan kebajikan rakyat tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, kenyataan beliau mendapat reaksi berbeza beberapa pihak termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkannya sebagai pandangan peribadi dan menegaskan PH tidak menggunakan agenda kaum sebaliknya akan terus membantu rakyat yang memerlukan.

Malah, Mohamed Azmin juga dikecam Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang menegaskan, usaha menyaingi UMNO dan Pas mendapatkan undi orang Melayu dengan melakukan agenda perkauman tidak ubah seperti Barisan Nasional (BN) serta akan menjadikan PH sebagai BN 2.0. – UTUSAN ONLINE