Mereka ialah Naib Presiden yang juga calon Timbalan Pre­siden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Ketua Penyelaras Bersatu bahagian itu, Ramli Awang berkata, kedua-dua individu terbabit telah melemparkan tuduhan yang tidak bermaruah terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewa­ngan, Tun Daim Zainuddin.

Katanya, perbuatan mereka itu telah mengguris hati dan perasaan semua ahli Bersatu di bahagian berkenaan.

“Saya khuatir sekiranya sesuatu tidak dilakukan oleh mereka, ia akan menyebabkan kira-kira 2,000 ahli Bersatu Port Dickson tidak keluar mengundi dan tindakan ini pasti akan mempengaruhi keputusan pengundian kelak.

“Kami minta mereka mohon maaf atau jangan datang ke sini,” katanya dalam sidang akhbar membantah kehadiran Rafizi dan Abdullah Sani dalam PRK Parlimen Port Dickson di sini hari ini.

PRK Port Dickson bakal diadakan berikutan tindakan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan menjadi ahli Parlimen.

Abdullah Sani sebelum ini dilaporkan dalam satu acara kempen ‘Reformasi 20 tahun’ mendakwa Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri jika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menewaskan Rafizi dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden PKR.

Abdullah Sani mendakwa Mohamed Azmin dan Daim berpakat untuk menghalang pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui parti komponen Pakatan Harapan.

Rafizi pula pernah mengkritik pelantikan ahli Kabinet kanan yang baginya dibuat tanpa penyertaan PKR.

Ramli menegaskan, Bersatu bahagian itu tidak menghalang kempen mana-mana ahli PKR yang lain, malah berikrar untuk bekerja keras memastikan kemenangan Anwar.

“Cuma kami tidak mahu Rafizi dan Abdullah Sani datang ke sini rentetan tuduhan mereka itu,” ujarnya.