Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, daripada 45 kerusi itu, 60 peratus daripadanya adalah dalam kalangan calon muka baharu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kepada empat ke lima kerusi dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain termasuk MCA.

“Pada pilihan raya umum lalu, kami bertanding 45 kerusi meliputi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi pada hari ini kami usulkan kepada Perdana Menteri senarai calon berpotensi.

“Lebih 60 peratus muka baharu menggabungkan Melayu, India serta Cina yang telah bertahun-tahun melakukan kerja di kawasan masing-masing. Jadi, kami yakin akan menampilkan keputusan lebih baik pada PRU-14,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN di Menara PGRM di sini hari ini.

Dalam lawatan lebih satu jam itu, Perdana Menteri turut menyampaikan amanat khas kepada kepemimpinan serta jentera Gerakan dan melawat bilik operasi pilihan raya parti tersebut.

Siew Keong memberitahu, dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri meminta parti berkenaan berada dalam situasi bersiap siaga dan berusaha bersungguh-sungguh menghadapi PRU-14 tahun ini.

Dalam pada itu, Siew Keong turut menzahirkan keyakinan parti tersebut bakal mencatatkan keputusan lebih baik di Pulau Pinang kerana pelbagai isu di negeri itu termasuk projek terowong dasar laut

“Pada pilihan raya umum lalu, DAP bertanding 96 DUN di Pulau Pinang dan menang kesemuanya, hari ini mereka menjadi semakin bongkak. Kami yakin akan buat lebih baik,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE