Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, keyakinan itu bukanlah suatu perkara yang mustahil atau retorik, buktinya apabila 87 peratus daripada Aku Janji BN dalam PRU13 telah pun ditunaikan.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Aku Janji BN menegaskan bahawa 87 peratus daripada seluruh manifesto PRU terdahulu telah pun ditunaikan, sehingga Oktober tahun ini.

“Atas sebab itu, kekalahan Gerakan di Pulau Pinang dalam PRU12 pada 2008, hanyalah bersifat sementara. Kita akan merampas semula negeri itu dalam pilihan raya yang bakal diadakan kurang dari 180 hari lagi,” katanya dalam Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-46 di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Seramai 1,778 hadir dalam persidangan yang bertemakan Satu Negara, Sehati Sejiwa yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin jangka hayat politik kerajaan negeri DAP di Pulau Pinang tidak akan bertahan lama kerana rakyat negeri itu sendiri akan menghukum pemimpin-pemimpin parti berkenaan dalam pilihan raya kelak.

Katanya, sikap kerajaan DAP yang mendabik dada dan mengabaikan kebajikan masyarakat serta alam sekitar Pulau Pinang akhirnya diuji apabila negeri tersebut dilanda banjir teruk baru-baru ini.

Jelasnya, kelebihan yang ditonjolkan Gerakan dan parti-parti komponen BN lain dapat dilihat apabila sanggup mengetepikan kepentingan politik untuk membantu masyarakat berbilang kaum di negeri tersebut.

“BN masih buta warna dan mengenepikan kepentingan politik dalam menghulurkan bantuan, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Atas sebab itu, jentera Gerakan perlu menggembleng tenaga dengan menggunakan pelbagai medium termasuk media sosial dalam usaha memastikan kemenangan memihak kepada BN di Pulau Pinang dalam PRU akan datang,” katanya.