Saman fitnah itu difailkan melalui Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menerusi firma guaman, Tetuan Baljit Singh.

Dalam pernyataan tuntutan, Teck Meng selaku pihak plaintif mendakwa, Guan Eng membuat kenyataan berbaur fitnah berhubung penjualan tanah Sri Tanjung Pinang yang dikatakan dijual kepada pemaju pada 1990-an dengan harga RM1 kaki persegi bagi keluasan 396 hektar semasa pentadbiran BN di bawah pimpinan Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Teck Meng berkata, tindakan saman itu diambil selepas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP belum disahkan jawatannya berterusan membuat kenyataan salah berhubung penjualan tanah tersebut.

“Gerakan sudah berulang kali membuat penjelasan berhubung penjualan tanah Sri Tanjung Pinang itu kepada rakyat yang mana kita pernah menjual tanah tersebut dengan harga RM1 kaki persegi seperti didakwa Guan Eng.

“Tetapi beliau berterusan mengulangi kenyataan yang sama dan ini merupakan satu fitnah sekali gus memaksa kita mengambil tindakan undang-undang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Teck Meng berkata, beliau mengambil tanggungjawab mengemukakan saman itu memandangkan Guan Eng yang dinamakan sebagai pihak defendan membuat pernya­taan tersebut yang ditujukan kepada Gerakan, bukannya kepada individu iaitu Tsu Koon.

Bagaimanapun, peguam Datuk Baljit Singh yang turut hadir memaklumkan Tsu Koon yang juga bekas Ketua Menteri akan dipanggil sebagai saksi kelak.

Pada 11 Julai lalu, Teck Meng menyerahkan notis tuntutan kepada Guan Eng bagi menuntut beliau meminta maaf secara rasmi dan tanpa syarat kepada Gerakan berhubung isu itu dalam tempoh 72 jam.

Menurut Teck Meng, tindakan saman itu diambil selepas berbincang dengan pemimpin dan ahli parti serta mendapat pandangan peguam parti dalam mempertahankan nama baik, imej dan kepentingan parti serta Tsu Koon.

Menjelaskan dakwaan Guan Eng itu, kata beliau, Gerakan tidak menjual tanah Sri Tanjung Pinang sebaliknya ia merupakan perjanjian konsensi penambakan tanah yang diberikan pada 1992.

Tambahnya, perjanjian itu melibatkan dua komponen pen­ting iaitu hak menambak tanah dan pegangan syer dalam penambakan tanah.

Menerusi perjanjian itu, ujar beliau, sebanyak 37 peratus adalah syer milik kerajaan negeri Pulau Pinang dan pada fasa pertama sejumlah 97 hektar telah ditambak dengan 19 hektar diserahkan semula kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.