Hakikat itu semakin jelas pada pilihan raya umum 2013 selepas prestasi kedua-dua parti berkenaan yang semakin buruk.

Perkara itu diakui sendiri pemimpin Gerakan dan MCA yang begitu terkesan dengan tsunami politik pengundi Cina meskipun pada suatu ketika mentadbir Pulau Pinang menjadi antara negeri termaju.

Namun, bagi pemimpin Gerakan dan MCA, tiada istilah putus asa atau mengalah dalam perjuangan politik dan penolakan itu dijadikan satu iktibar untuk menjadi parti lebih baik buat masyarakat Cina.

Tempoh 10 tahun menjadi pembangkang juga memberi masa cukup memadai untuk Gerakan dan MCA menilai semula gerak kerja politik mereka selama ini.

Maka, tidak keterlaluan untuk disimpulkan Gerakan dan MCA hari ini sebenarnya sudah cukup bersedia untuk kembali menjadi parti yang menjuarai permasalahan dan membawa suara masyarakat Cina.

Dalam konteks politik di Pulau Pinang terutamanya, Gerakan dan MCA paling hadapan dalam membangkitkan isu, kontroversi dan skandal membabitkan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Segala kontroversi berkaitan kepentingan rakyat seperti projek terowong, penjualan tanah tanpa tender terbuka, kenaikan tarif utiliti dan banyak lagi dibangkitkan serta dibongkarkan pemimpin Gerakan dan MCA secara berterusan.

Semua itu pula dilakukan dalam stigma dan keadaan mana-mana orang Cina yang menentang DAP khususnya di Pulau Pinang dipandang serong masyarakat Cina sendiri.

Namun, lama-kelamaan, semua pembongkaran itu semakin membuka mata penduduk Pulau Pinang tentang hakikat sebenar pembaharuan yang kononnya diharapkan daripada DAP.

Parti Gerakan dan MCA sebenarnya mampu menyumbang yang lebih baik kepada masyarakat Cina di Pulau Pinang tetapi status sebagai pembangkang menghalang banyak usaha ke arah itu.

Sebab itu, adalah penting untuk masyarakat Cina bersama-sama Gerakan dan MCA atau lebih tepat Kerajaan Pusat supaya lebih banyak pembangunan yang  menguntungkan mereka dapat dilaksana di negeri ini.-UTUSAN ONLINE