Muhammad Syukri Ibrahim

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Muhammad Syukri Ibrahim berkata, sejarah parti telah membuktikan UMNO berjaya melahirkan ramai pemimpin di usia muda seperti Tun Abdul Razak Hussein yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika berumur 33 tahun dan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada usia 39 tahun.

“Dua bekas pemimpin itu adalah bukti bahawa UMNO sangat memerlukan idea-idea baharu daripada generasi muda, justeru, barisan kepemimpinan parti perlu memberi ruang dan peluang kepada kami sama ada jawatan dalam parti atau kerajaan.

“Kepemimpinan parti perlu menghapuskan persepsi bahawa generasi muda kurang pengalaman kerana potensi individu itu hanya boleh diketahui selepas ruang dan peluang diberikan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Sudut Pergerakan Pemuda, Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Syukri yang juga Setia­usaha Agung Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia berharap kepemimpinan tertinggi UMNO dapat memberi perhatian terhadap setiap usul yang dibahaskan dalam perhimpunan ini.

Katanya, usul-usul tersebut merupakan suara hati ahli-ahli di peringkat akar umbi dari seluruh negara yang mahu kepemim­pinan parti mengambil maklum dan bertindak dengan sewajarnya.

“Pemimpin UMNO tidak boleh memandang enteng atau selektif terhadap usul-usul yang dibawa para perwakilan kerana cadangan itu merupakan kehendak ahli-ahli di peringkat akar umbi.

“Para pemimpin parti juga tidak boleh membiarkan usul itu tergantung sebaliknya mereka perlu memberi jawapan melalui Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Ketua Penerangan Cawangan atau Bahagian, jika terdapat mana-mana usul yang gagal dilaksanakan,” katanya.