Persidangan dua hari itu sangat penting dalam usaha mencari formula terbaik bagi membangunkan semula parti keramat berkenaan agar kembali diterima oleh rakyat di negara ini.
Sempena perhimpunan itu, wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN mendapatkan pandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI 

Mingguan: Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah yang pertama selepas kekalahan teruk dalam PRU-14. Bagaimana Datuk Seri melihatnya?

ISMAIL SABRI: Satu fokus sahaja iaitu bagaimana hendak mengembalikan kekuatan UMNO supaya diterima oleh rakyat dan kita akan kembali berkuasa. Kali ini satu sahaja iaitu usul politik yang mana dalam ucapan dasar Presiden akan membentangkan hala tuju baharu UMNO bagaimana hendak mengembalikan kuasa dan keduanya dari segi semangat perjuangan ahli parti sendiri.

Apakah agenda utama dan mesej yang ditekankan kepada perwakilan dan ahli akar umbi?

Perbincangan kita lebih ke­pada bagaimana hendak me­ngembalikan kekuatan UMNO, bagaimana kita hendak merampas kembali kerajaan. Maknanya UMNO parti government in waiting atau kerajaan yang sedang menunggu.

Mungkin ada mengatakan perhimpunan kali ini tidak segah dahulu dan menjadi hambar kerana perwakilan kurang bersemangat selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO tumbang.

Saya rasa tidak begitu. Ia boleh jadi lebih bersemangat sebab fokus kita kali ini untuk UMNO kembali berkuasa. Tentulah da­lam ucapan Presiden, saya percaya selain menggariskan hala tuju, ia meniupkan semangat kepada ahli parti terutama perwakilan. Kalah bukan makna kita terus hilang tetapi kalah atas alasan untuk bangkit kembali. Mungkin kali ini lebih jauh bersemangat se­bab fokus kita untuk bangkit.

Apakah harapan Da­tuk Seri hasil perhimpunan ini?

Saya harap selepas ini kita balik dengan semangat baharu. Ahli peringkat akar umbi terus bergerak di peringkat bahagian dan sebagainya untuk bekerja bersungguh-sungguh memastikan UMNO kembali membentuk kerajaan. Selepas perhimpunan dan mendengar Presiden memberi hala tuju, apa strategi baharu perlu dibuat. Kita balik dan laksanakan segera apa yang digariskan.

Dengan hala tuju baharu yang bakal digariskan nanti, bagaimana Datuk Seri melihat harapan untuk UMNO kembali berkuasa?

Setakat hari ini rakyat sudah pun melihat kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan semua janji manis yang mereka beri sehingga menyebabkan pengundi menyokong mereka. Sudah tentu orang Felda bila dijanji hapus hutang Felda tentu sahaja mereka terpengaruh. Sebab itu 19 kawasan Felda tumbang.

Orang yang terpaksa bayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tiba-tiba tidak payah bayar, tentu sahaja mereka pilih kerajaan menguntungkan mereka. Begitu juga orang kampung termakan janji harga barang akan turun.

Sekarang ini orang benci kepada PH tetapi mungkin belum boleh menerima sepenuhnya UMNO. Kalau dulu rakyat tolak UMNO terima PH sekarang ini mereka hendak tolak PH tetapi masih lagi belum menerima UMNO. Kita kena tukarkan tolak PH dan kembali kepada UMNO, itu tugas kita.