Shahrizat Abdul Jalil dengan gaya tersendiri menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, semalam.

Ketua Pergerakannya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tunjang pertama adalah keberanian yang diumpamakan seperti pedang yang menghunus pihak lawan, bukannya menikam parti sendiri.

Tunjang kedua, kata beliau, adalah kesetiaan bukan hanya daripada ahli kepada pucuk pimpinan parti, tetapi juga sebaliknya sama ada ketika susah atau senang.

Tambahnya, tunjang ketiga adalah kepatuhan kepada ke­tua yang diumpamakan sebagai ‘bahtera satria’ yang mana satu bahtera hanya memerlukan satu nakhoda.

“Tunjang keempat pula adalah strategi perang dan strategi ini yang paling berkesan adalah keikhlasan kita berkhidmat kepada rakyat, tidak ada apa yang lebih daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Menyentuh soal mengurangkan kos sara hidup, Shahrizat menggesa pihak swasta supaya tidak lepas tangan dan turut mengambil tanggungjawab itu, bukannya mengharapkan kerajaan semata-mata.

Ujar beliau, majikan di sektor swasta boleh mengurangkan kebergantungan pekerja tidak terlatih warga asing dan menawarkan peluang itu kepada rakyat tempatan dengan gaji lebih menarik.