Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka telah memperlihatkan realiti mengetepikan pergeseran untuk bersama dalam usaha terus mencorak era baharu bagi negeri.


Beliau yang juga Naib Presiden menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, mereka telah memberi keutamaan ke arah penyatuan semula UMNO negeri ini yang menjadi teras penting untuk memastikan UMNO dan BN kekal menerajui negeri.


“Realitinya Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahmad Said bukan lagi Menteri Besar tetapi ketiga-tiga ini (bersama Ahmad Razif) duduk bersama-sama di atas pentas. Ia adalah petunjuk bahawa sejarah silam telah berlalu. Perbezaan diketepikan demi kepentingan UMNO keseluruhannya.


“Jangan pernah usik UMNO dan Barisan Nasional selagi pemimpin-pemimpin ada bersama dengan kita ini dengan didukung oleh ketua bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri dan masyarakat.


“InsyaAllah Terengganu masih milik UMNO pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan UMNO Bahagian Kemaman 2017 di sini hari ini.


Dalam reaksi spontan, Ahmad Razif berpelukan dengan Ahmad Said selepas Ketua Bahagian UMNO Kemaman itu selesai memberi ucapan yang antara lain mengajak semua tidak lagi membangkitkan sejarah sengketa lalu bagi membina kekuatan baharu.


Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut hadir bersama Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam persidangan yang menarik tumpuan umum itu.


Ahmad Zahid menarik perhatian, keupayaan UMNO dan BN menguasai semula teraju negeri daripada Pas selepas sepenggal berkuasa kerana Idris yang diberi kepercayaan oleh kepemimpinan parti mendapat sokongan dan kerjasama padu para pemimpin di semua peringkat.-UTUSAN ONLINE