Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, ia telah memusnahkan cubaan oleh musuh politik yang mahu merosakkan hubungan mereka dengan menimbulkan pelbagai spekulasi negatif.

Katanya, kekuatan kepimpinan dan hubungan erat kedua-dua tokoh itu adalah ancaman yang sangat besar dalam kalangan musuh politik mereka.

“Sepanjang pengetahuan saya, berdasarkan sejarah semasa Dr. Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri, kali terakhir beliau turun berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah pada akhir 1980-an.

“Kehadiran beliau malam tadi selepas kira-kira 30 tahun dalam kempen PRK adalah satu sejarah yang besar dan membawa kesan yang amat penting,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Port Dickson di sini, hari ini.

Menurutnya, kehadiran Dr. Mahathir telah memberi suntikan moral yang penting kepada para pengundi di sini dalam seruan supaya mereka keluar beramai-ramai menunaikan tanggung jawab pada Sabtu ini.

Jelasnya, PH kini sedang menggiatkan kempen menyebar mesej menarik pengundi keluar pada hari pengundian termasuk berhubung melalui telefon.

“Kita jangka banyak jalan di daerah ini akan mengalami kesesakan dan kita juga belum tahu ramalan cuaca untuk hari itu.

“Para pengundi perlu membuat perancangan keluar awal dan jangan menunggu hingga ke saat-saat akhir,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE