Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, biar pun gandingan dua beranak itu tampak yakin untuk merampas kuasa di negeri ini, beliau sebaliknya tidak melihat parti itu sebagai ancaman yang perlu dibimbangkan.

“Tidak dinafikan PPBM menaruh harapan tinggi di Kedah kerana hanya di negeri ini saja mereka mempunyai ‘asas’ untuk melawan iaitu kerana Mahathir berasal dari sini dan Mukhriz bekas Menteri Besar. Di ne­ge­ri-negeri lain, mereka tidak relevan kepada rakyat.

“Tetapi saya hendak pesan kepada mereka, jangan melaung keyakinan terlalu tinggi. Rakyat hari ini boleh menilai apa yang patut mereka buat dan tidak akan memberi undi hanya bersandarkan kepada sentimen atau nostalgia lampau,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika ini terdapat khabar mengatakan PPBM akan ber­tanding enam kerusi Parlimen di Kedah dan bakal mendominasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara kerusi Parlimen yang dikatakan ‘di­hajati’ PPBM adalah Langkawi, Kubang Pa­su, Pendang dan Jerlun.

Mengulas lanjut ka­tanya, kepincangan dan ke­kalutan Pakatan Harapan yang diketuai DAP dalam mencalonkan Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara sebelum diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim turut akan dinilai rakyat.

“Soalnya benarkan Mahathir akan benar-benar menyerahkan jawatan itu kepada Anwar? Bersandarkan trek rekod Mahathir sebelum ini, saya tak yakin perkara itu akan berlaku.

“Maka saya nasihatkan kepada PKR supaya berhati-hati dengan ‘air mata’ Mahathir,” katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Langkawi, Ahmad Marzuki Shariat berkata, beliau secara peribadi merasakan UMNO di Langkawi tidak tergugat dengan cakap-cakap mengatakan Mahathir akan bertanding di situ.

“Sebagai orang Melayu, tak dinafikan rasa hormat terhadap Mahathir memang ada. Kesannya mungkin ada tetapi tak banyak.

“Bagi saya PPBM di Langkawi tidaklah sekuat mana dengan perebutan kerusi dan protes masih berlaku sesama mereka. Begitu pun, UMNO sendiri perlu bekerja lebih kuat bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.