Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, untuk itu momentum tinggi yang ditunjukkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 bukan sahaja perlu dikekalkan, malah dilipatgandakan lagi bagi menghadapi pilihan raya umum.

“Presiden mengingatkan kita bahawa momentum ini mesti dapat dibawa ke peringkat bahagian dan cawangan masing-masing.

“Kita perlu memastikan bahawa kita juga bertanggungjawab melihat anak buah kita, jentera, sasaran dan perancangan kita untuk pilihan raya dapat diterjemahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Naib Pre­siden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, Najib yang juga Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa rakyat hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada memilih pembangkang yang penuh kepincangan atau kerajaan BN yang terbukti berjaya selama ini.

“Saya anggap apa yang dibentangkan Presiden menyuntik semangat dan sedikit sebanyak merupakan kad laporan bukan sahaja untuk perwakilan, tetapi juga kepada rakyat.

“Berdasarkan rekod-rekod kejayaan yang telah dibentangkan, kita berharap rakyat memberi keyakinan dan terus bersama kita,” katanya.

Beliau yakin sasaran BN untuk meraih kemenangan dua pertiga dalam PRU-14 adalah tidak mustahil untuk dicapai dengan usaha dan tekad semua pihak.