Koordinator UMNO bagi himpunan tersebut, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, langkah itu lebih senang berbanding menaiki pengangkutan awam seperti bas.

“Kita menggalakkan ahli-ahli UMNO daripada peringkat cawangan untuk datang sendiri dengan pengangkutan sendiri sebab semua ada kereta. Ahli, ketua cawangan, Ketua Puteri, Ketua Pemuda semua ada kenderaan sendiri.

“Tak payah nak tunggu bas atau pengangkutan sana sini. Semua ahli UMNO perlu tunjukan sokongan dengan membawa kereta sendiri. Cara itu lebih senang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, pihaknya menyasarkan lebih 500,000 kehadiran pada himpunan tersebut iaitu terdiri daripada 200,000 ahli UMNO, 300,000 ahli Pas manakala 50,000 ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelas beliau, para peserta digalakkan untuk hadir sehari lebih awal dan merancang perjalanan masing-masing agar tidak terlibat dengan sebarang kesesakan.

“500,000 orang akan bersama-sama memakai baju putih pada himpunan Sabtu ini, jadi Kuala Lumpur akan diputihkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE.