TIMBALAN Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) , Haslihelmy Zulhasli
TIMBALAN Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) , Haslihelmy Zulhasli

Timbalan Presidennya, Haslihelmy Zulhasli berkata, ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini, Dr. Mahathir tidak membenarkan Akta Gaji Minima digubal walaupun anak-anaknya sendiri adalah antara orang terkaya di negara ini dan menjadi jutawan.

“Apabila Akta Gaji Minimum digubal pada 2012, ramai rakyat biasa dan kesatuan sekerja yang gembira tetapi Mahathir sama sekali tidak berpuas hati.

“Kini, setelah sekali lagi mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Mahathir nampaknya tidak banyak yang berubah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Haslihelmy berkata, Majlis Gaji Minimum Negara (MGMN) pada mulanya mencadangkan RM1,250 untuk Semenanjung mengikut manifesto Pakatan Harapan, tetapi diseragamkan RM1,170 di seluruh negara.

Menariknya, katanya, golongan majikan mengusul kenaikan RM50 bermula dari Januari 2019 yang bermaksud RM1,050.

“Semalam, Mahathir mengumumkan apa yang diusulkan oleh majikan, bukankah ini bererti kepentingan pekerja telah dilelong dan dijaja sepenuhnya oleh Dr. Mahathir?,” soalnya.

Jelasnya, PAKP berpendapat adalah tidak masuk akal mempunyai MGMN jika keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet.

“Maka PAKP menyeru anggota MGMN untuk meletakkan saja jawatan mereka sebagai langkah bermaruah, memandangkan hanya suara majikan dan orang kaya sahaja yang ada nilai, dipertimbangkan dan didengar.

“PH mengecewakan kaum pekerja di negara kita. Apakah semua jaguh pekerja dalam pakatan itu akan bersuara atau mereka akan menutup mulut mereka?,” soalnya. - UTUSAN ONLINE