Menurut Najib, misalnya dalam isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), beliau membidas pengumuman pembayaran balik hutang pinjaman itu kepada graduan yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan menerusi cara potongan berjadual antara dua dan 15 peratus daripada pendapatan bulanan pinjaman.

Jelasnya, tidak ada graduan universiti yang bekerja memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 malah kata beliau, gaji pekerja Bangladesh juga lebih daripada jumlah tersebut.

“Apabila melihat manifesto PH sebelum ini untuk PTPTN, saya tertunggu-tunggu sebab ramai anak muda undi sebab janji mereka (PH) tetapi yang diumumkan gaji lebih RM1,00 perlu membayar hutang PTPTN. Gaji mat bangla (pekerja Bangladesh) yang potong rumput dekat kelab golf pun lebih RM1,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta dalam Sesi Dialog Sembang Santai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook beliau.

Najib turut menegaskan, beliau tetap setia bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, UMNO dan BN sudah menjadi darah dagingnya, justeru beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menubuhkan sebuah parti baharu.

“Sama ada hasrat mahu buka parti baharu, saya, darah daging saya UMNO dan BN. Kalau benam saya dalam air, angkat sepuluh kali pun saya kata UMNO dan BN.

“Jadi saya tiada cadangan mahu buka parti baharu. Kita mesti selamatkan UMNO dan BN sebab tak ada apa-apa yang salah pada UMNO dan BN,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Najib mendakwa, punca kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah disebabkan oleh penipuan, fitnah dan janji-janji palsu yang dilemparkan.

“Kita kalah kerana penipuan, fitnah, dan janji-janji palsu. Kalau `even playing field’, saya percaya UMNO dan BN boleh menang tetapi sebab dia (PH) telah mainkan kepala pengundi, rakyat kena kencing (terpedaya). Apabila sudah jadi begitu, mereka tidak nampak kebaikan UMNO dan BN. Kita buat segala-galanya,” katanya. - UTUSAN ONLINE