Pengerusi Gagasan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bagaimanapun hak-hak penganut agama lain tidak diganggu dan membenarkan perkara yang dihalalkan oleh ajaran agama terbabit diamalkan seperti biasa.

“Dalam Islam kita tidak boleh mengharamkan apa yang dihalalkan oleh bukan Islam seperti arak, babi dan lain-lain dengan syarat menjaga sensitiviti dan hubungan kaum,” katanya dalam sidang akhbar selepas Syarahan Perdana Hala Tuju dan Pendekatan Sejahtera dan Pelancaran Manifesto Gagasan, di sini malam tadi.

Gagasan tersebut yang turut dianggotai Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mengumumkan 20 perkara utama dalam manifesto bertajuk Malaysia Sejahtera.

Menyentuh mengenai hukum hudud, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, hukuman tersebut bukan bertujuan untuk menghukum tetapi bagi mendidik masyarakat.

Malah, tegasnya, hudud yang bermaksud had turut diamalkan oleh ajaran agama lain berpandukan hukum dan ajaran agama masing-masing.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya juga akan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menggantikan dengan sistem percukaian lebih adil seperti cukai atas simpanan korporat dan cukai saham di Bursa Saham Malaysia.

“Pada masa sama, Gagasan juga komited untuk melupuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memberi bantuan makanan asasi kepada golongan fakir serta miskin secara bulanan menerusi program It’aam Kebangsaan,” katanya.

Antara lain, dalam manifesto tersebut turut menyenaraikan bantuan sekali (one off) sebanyak RM2,000 sebagai modal untuk wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah dan hasrat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara.

Turut digariskan ialah usaha untuk mengembalikan sistem kuota di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar pembangunan yang berupaya membasmi kemiskinan serta menyusun semula ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan rakyat.

Selain itu, turut disenaraikan ialah hasrat untuk membangunkan penempatan baharu mampu milik untuk generasi kedua dan ketiga Felda serta membantu kerajaan-kerajaan negeri membuka rancangan pembangunan tanah khusus untuk golongan muda.

Pada masa sama, Gagasan tersebut juga mahu mewujudkan Pusat Komuniti Keluarga Sejahtera di setiap daerah dan menambah bilangan doktor pakar serta hospital pakar. - UTUSAN ONLINE