Perdana Menteri berkata, mesyuarat Majlis Presiden PH yang dihadiri oleh kepemim­pinan utama setiap parti juga berjalan dengan lancar dan tenang tanpa terlalu beremosi.

“Mesyuarat telah bincang panjang lebar berkenaan situasi politik dalam negara dan mesyuarat diadakan dalam keadaan tenang. Tiada perpecahan dalam kalangan kita, semua rundingan seperti sebuah pakatan yang boleh bekerjasama.

“Ramai berpendapat pakatan ini lemah, ia tidak lemah, kita semua kuat, dalam Kabinet kita boleh bekerjasama, dalam Mesyuarat PH pun kita boleh bincang tanpa terlalu emosi, tiada perkataan kasar.

“Jadi saya fikir pakatan ini berfungsi, ada yang kata pakatan ini lemah, tetapi tidak lemah dan kami berpandangan yang sama dalam kebanyakan isu dibincangkan,” katanya yang juga Pengerusi PH dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar tersebut, bekas calon DAP bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, M. Manogaran diumumkan sebagai calon PH bagi bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen tersebut pada 26 Januari ini.

Jelas Dr. Mahathir, beliau yakin PH akan memenangi pilihan raya tersebut dan merampasnya daripada BN walaupun bakal menerima tentangan.

‘‘Kita telah tentukan siapa yang akan bertanding dalam PRK Cameron Highlands, calonnya ialah Manogaran iaitu calon lama yang bertanding di situ pada PRU-14.

‘‘Kita akan menang dalam PRK ini, insya-Allah kita akan menang, kita tidak tahu siapa yang hendak bersaing dengan kita, dengar cerita macam-macam, tetapi siapapun yang bertanding kita percaya kita dapat mengatasinya,’’ katanya.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan PRU-14 bagi Parlimen tersebut terbatal.

Keputusan itu susulan pe­tisyen difailkan Manogaran yang memohon perisytiharan keputusan kerusi Parlimen tersebut yang disandang Datuk C. Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada PRU-14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan empat calon lain termasuk Manogaran yang memperoleh 9,710 undi.