Setelah beberapa kali membuat ‘dosa kering’ dengan menabur fitnah kononnya Barisan Nasional (BN) melakukan penipuan dalam PRU-14, kini timbul satu lagi pembohongan mengatakan BN akan ‘membeli’ calon gabungan pembangkang PKR pada hari penamaan calon.

Mengulas perkara ini, bekas Naib Presiden PPBM yang dibubarkan sementara, Datuk Hamidah Osman berkata, penyebaran andaian negatif sebenarnya sudah sinonim dengan kepemimpinan tertinggi gabungan pembangkang PKR sebagai satu alasan awal sekiranya kalah dalam PRU-14.

Jelas beliau, sekiranya gabungan pembangkang PKR benar-benar yakin dengan calon yang dipilih, maka isu ‘membeli’ calon itu sebenarnya tidak mungkin wujud.

“Jika mereka (gabungan pembangkang PKR) mengatakan mungkin BN akan membeli calon, adakah ini bermakna mereka tidak meyakini calon yang dipilih sehingga merasakan boleh dibeli pula?

“Hal ini tidak lain tidak bukan hanyalah satu lagi penipuan terbesar mereka dan sudah menjadi ‘ciri utama’ gabungan pembangkang PKR, malah perkara ini pun sudah diketahui umum sebagai langkah awal sekiranya mereka kalah nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kepemimpinan tertinggi gabungan pembangkang PKR sekali lagi cuba menyebarkan fitnah dengan mengatakan BN mungkin membeli calon gabungan tersebut pada hari penamaan calon, Sabtu ini sebagai antara langkah bagi menggagalkan mereka.

Kenyataan yang dikeluarkan dalam satu majlis di Stadium Kuala Selangor, semalam turut mengatakan calon mereka akan disekat daripada sampai ke tempat penamaan calon dan lain-lain perkara termasuk tidak mengiktiraf Ejen Pusat Mengundi dan Mengira Undi (PACA), pencadang serta penyokong gabungan pembangkang PKR. - UTUSAN ONLINE