Gabungan pembangkang PKR belum tentu siapa bakal MB Kedah
Mukhriz Mahathir 

Bagaimanapun persoalannya, adakah gabungan pembangkang PKR itu akan memberi laluan mudah kepada Mukhriz sekiranya mereka menang di negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),

Pada PRU-13, nama Mukhriz diumum awal sebagai calon Menteri Besar Kedah sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada ketika itu, namun kali ini adakah peluang sama akan diberikan oleh gabungan pembangkang yang diwakili oleh PAN, DAP dan PKR yang pastinya juga mempunyai calon tersendiri.

Mukhriz ketika ditanya soalan tersebut selepas ceramah gabungan pembangkang PKR di Bulatan Lapangan Terbang Padang Mat Sirat di sini malam tadi, seolah-olah beliau juga belum pasti mengenainya.

Jawab Mukhriz, gabungan tersebut masih belum memutuskan siapa calon Menteri Besar Kedah.

“Bagi menang dahulu, baru buat keputusan (siapa MB),” katanya.

Sementara itu, gabungan pembangkang PKR dilihat masih belum mencapai kata sepakat apabila belum menyenaraikan mesemua calon bagi kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini.

“Saya masih belum mengetahui senarai calon PKR yang akan bertanding nanti, jadi saya tidak dapat memberi gambaran,” katanya.

Terdahulu, Dr. Mahathir mengumumkan calon PPBM yang bakal bertanding di 14 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen termasuk Langkawi.

Selain Jerlun dan Langkawi yang bakal diwakili oleh dua beranak tersebut, PPBM yang dibubarkan sementara juga bakal mengenengahkan calonnya di Parlimen Kubang Pasu; Pendang; Baling dan Jerai.

Kerusi DUN pula melibatkan Ayer Hitam; Bukit Kayu Hitam; Anak Bukit; Bukit Lada; Kuala Nerang; Sungai Tiang; Jeneri; Bayu; Guar Chempedak; Tanjung Dawai; Bandar Baru; Kuah dan Ayer Hangat.- UTUSAN ONLINE