Wakil Pahang, Datuk Shafik Fauzan Sharif (gambar) berkata, agama Islam merangkumi cara hidup masyarakat secara menyeluruh bukannya melibatkan upacara atau pengisian acara dalam majlis-majlis tertentu.

Katanya, perjuangan UMNO telah memastikan agama Islam dapat terus dimartabatkan sehingga pelbagai kejayaan dapat dicapai termasuk dalam menegakkan undang-undang syariah dan menjadikan Malaysia antara hab kewangan Islam tersohor.

“Negara sudah merdeka 58 tahun, malangnya, masih ramai yang tidak tahu kedaulatan Islam, lebih mendukacitakan, ramai yang se­nada dengan kumpulan G25 serta Comango (Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia).

“Mereka menganggap negara ini mengamalkan demokrasi sekular sedangkan tiada langsung sepatah pun istilah sekular dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan dalam Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Sementara itu, seluruh ahli UMNO digesa menghayati pantun lama Melayu yang berbunyi ‘Pucuk pauh delima batu, anak sembilang di tapak tangan, walaupun jauh beribu batu, hilang di mata, di hati jangan’ dalam meneruskan keta­atan kepada pemimpin sekaligus memartabatkan perjuangan parti dan negara.