Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ini kerana kerajaan DAP Pulau Pinang menganjurkan Georgetown Festival dengan meng­anugerahkan tender kepada satu kontraktor secara rundingan terus dengan kos sebanyak RM19 juta untuk lima tahun.

Abdul Rahman berkata, kemudian Laporan Audit Negara 2016 mendapati, terdapat beberapa isu berkaitan program tersebut seperti kontrak yang tidak mengikut kelulusan Lembaga Pengarah, tiada penetapan asas kukuh pelantikan kontraktor dan beberapa syarat perjanjian yang tidak dipatuhi.

“Syarikat milik Kerajaan DAP Pulau Pinang, Georgtown World Heritage Incorporated yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng sendiri telah terlebih bayar kepada kontraktor tersebut sebanyak RM500,000 yang dikategorikan sebagai improper payment oleh Jabatan Audit Negara.

“Rafizi sepatutnya mempersoalkan perkara ini tetapi tiada pula sebarang siasatan dibuat sebab itu saya mahu tahu apa sebenarnya fungsi Invoke Malaysia ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Ekspo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman, Invoke Malaysia yang kononnya sebuah organisasi bebas daripada percaturan politik sebaliknya menjadi pusat menabur fitnah Rafizi terhadap program-program yang dijalankan kerajaan.

“Pembohongan Rafizi ini perlu dihentikan, saya mahu lihat bagaimana dia menjawab isu membabitkan Kerajaan DAP Pulau Pinang ini dan saya mahu dia segera menjawab,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya yang menyentuh mengenai Ekspo Negaraku 2017, Abdul Rahman berkata, jumlah pengunjung pameran infrastruktur berskala besar itu yang memasuki hari terakhir hari ini dijangka mencecah 600,000 orang.

Beliau berkata, sejak ekspo tersebut bermula 15 November lalu sehingga pukul 3 petang ini, seramai 571,993 orang pe­ngunjung­ dicatatkan.

“Malah saya bangga menyatakan yang kita telah capai sasaran 500,000 orang pada hari ketiga ekspo.

“Secara purata kita mampu mencapai sehingga 15,000 pengunjung pada hari bekerja dan lebih 40,000 pengunjung sehari pada hujung minggu dan cuti umum,” katanya.