Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, formula itu disusun sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibantu oleh beliau dalam misi merampas semula kerusi berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi bayangan bahawa akan ada kejutan melalui formula tersebut dan meminta semua parti komponen bersiap sedia menjayakannya.

“Setiap parti komponen BN perlu memberi kerjasama dan mesti sanggup bertolak-ansur. Apa yang penting kita perlu ada persefahaman yang kukuh antara semua parti dalam BN.

“Perdana Menteri sudah me­nemui formula untuk memenangkan BN di Telok Kemang dan tidak mustahil kita juga akan merampas semula Parlimen Seremban,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pe­mimpin Bersama Rakyat di Taman Satria, Senawang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin serta 6,000 penduduk yang kebanyakannya tinggal dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi.

Ahmad Zahid memberitahu, Perdana Menteri telah menyusun rancangan lebih baik untuk Ne­geri Sembilan dan berhasrat mencapai kemenangan dua pertiga kerusi DUN serta penguasaan yang sama di peringkat Parlimen.

“Yang penting kerusi ditandingi mesti mencapai kemenangan. Kalau letak calon yang tidak sesuai kerusi itu akan kecundang. Sebab itu, kita perlu cari calon yang boleh memang. Ini formula yang terbaik di Negeri Sembilan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Menangani Kos Sara Hidup berkata, Jualan Sentuhan Rakyat akan dianjurkan lebih kerap berikutan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

“Saya akan menemui Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk berbincang bagi menjayakan cadangan ini,” ujarnya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan berjumlah RM49 juta bagi lima projek pembinaan, naik taraf dan baik pulih infrastruktur dalam kawasan Parlimen Rembau serta mencadangkan tiga projek infrastruktur dimasukkan dalam senarai ke­utamaan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga menyampaikan sumbangan kepada 300 penerima bantuan dalam kawasan DUN Paroi.