MOHAMED KHALED
MOHAMED KHALED

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu juga tidak faham dengan kewujudan Forest City yang me­rupakan usaha kerajaan negeri dalam menjana pertumbuhan ekonominya.

“Johor tidak memiliki sumber asli yang besar dan berharga seperti mi­nyak, gas dan balak seperti negeri lain. kita tidak lagi beri galakan untuk tebang balak.

“Kita zero, kita tidak ada hasil. Jadi kita bangunkan (tanah) yang (berkeluasan) kecil itu untuk kita melonjakkan pertumbuhan ekonomi Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pe­cah Tanah Sekolah Agama Bandar Seri Alam 2, di Jalan Persisiran Seri Alam, Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Aga­ma negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim.

Mahathir semasa berucap dalam mesyuarat agung pertama Parti Pri­bumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), Shah Alam, Selangor kelmarin, mendakwa berlaku penjualan tanah kepada orang asing dan hasilnya digunakan untuk membayar hutang.

“Habislah tanah kita akan dijual, tidak kiralah Forest City, saya harap Forest City akan betul-betul jadi forest (hutan)... penduduknya akan terdiri daripada kera, monyet dan sebagainya,” ujar Mahathir kepada perwakilan PPBM dalam mesyuarat tersebut.

Mohamed Khaled berkata, sekiranya Johor tidak dibangunkan potensi serta peluang sedia ada, pertumbuhan ekonomi akan lembab dan kerajaan negeri tidak dapat memajukan rakyat.

“Johor kena fikir bagaimana cara nak bangun sendiri. Jadi dengan Dr. Mahathir hala Forest City, dia tidak membantu. Dia tak faham Johor, dia hanya faham Lembah Klang,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Mahathir yang memberikan perhatian dan fokus terhadap Forest City yang dibangunkan atas tanah seluas 0.01 peratus daripada keluasan negeri ini.

“Saya dah beritahu banyak kali, Forest City itu hanya merupakan 0.01 peratus daripada ne­geri Johor,” katanya dan berharap rakyat tidak terpengaruh dengan kritikan tersebut.