Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, percakaran sesama sendiri itu menyebabkan fokus utama untuk menentang segala fitnah yang dilemparkan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu gagal ditangani sehingga hampir membawa kekalahan.

Beliau yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, perkara tersebut diambil kesempatan oleh media sosial pembangkang yang berte­rusan menabur fitnah terutama di saat-saat akhir sebelum mengundi sehingga rakyat terpengaruh kerana pejuang siber UMNO tidak fokus dan gagal memberikan res­pon segera.

“Saya tahu setiap pemimpin ada pejuang siber masing-masing tetapi sebelum ini mereka berfikiran silo ada yang tembak sesama sendiri, perangai seperti seladang, suka tanduk sesama sendiri sampai tanduk patah, akhirnya bila harimau dan singa datang, seladang tidak ada tanduk lagi untuk bertahan.

“Jangan kita serang sesama sendiri. Kita lihat pengaruh media sosial sangat kuat, kita kalah dalam perang persepsi sebab kita perang sesama sendiri, akhirnya kita kecundang kerana kita tidak laksanakan tugas menangkis fitnah dan tuduhan pembangkang,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Media Sosial anjuran Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid berkata, pembangkang bertungkus lumus menguatkan pasukan siber me­reka sehingga dihantar menjalani latihan di Taiwan, justeru UMNO juga perlu bersedia dan tidak lagi ‘babau’ atau berdiam diri sahaja.

Tegasnya, perkara itu sudah menjadi kewajiban memandang­kan statistik mendapati 82 peratus pengundi menggunakan media sosial, malah 90 peratus daripada pengundi muda aktif dalam laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan aplikasi Whatsapp.

“Sekarang Biro IT UMNO perlu bangkit, dulu kita kalah sebab banyak sangat persepsi negatif dilemparkan sehingga pembangkang kata ada 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh dibawa masuk ke negara ini pun rakyat percaya,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, walaupun aktif menangkis fitnah pembangkang, beliau berharap pejuang siber UMNO tidak melampaui batas-batas moral dan menggunakan kata-kata kesat seperti dilakukan golongan lawan sebaliknya mereka perlu menjaga tatasusila.

“Dulu kita baik, malah amat baik sehingga mereka ambil ke­sempatan, kali ini kita tidak akan jadi terlalu baik tetapi bukanlah sampai jadi jahat kerana kita menjawab dengan menghamparkan fakta dan maklumat yang tepat.

“Mereka bergembira kalau dapat memalukan dan melondeh pakaian seseorang pemimpin di laman sosial tetapi itu budaya songsang yang semberono, kita bukan macam itu kerana kemenangan kita mesti dicapai dengan cara yang baik,” tegas beliau.