Pesanan itu disampaikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kepada barisan kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini yang dilihat banyak mencari salah Barisan Nasional (BN) sehingga alpa kepada kemahuan rakyat.

Beliau percaya, setelah hampir lima bulan PH mentadbir negara, rakyat sudah tentunya ternanti-nanti program serta polisi yang mampu menyelesaikan isu dan permasalahan mereka.

“Yang penting ialah rakyat. Jangan bebankan rakyat yang dambakan pelbagai imbuhan dan dasar yang lebih baik.

“Kalau mahu cari salah, memang akan jumpa kerana mana ada kerajaan yang sempurna. Begitu juga kerajaan lalu ada kelemahan tetapi jangan nafikan kekuatan mereka,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan misi bantuan perubatan dan kemanusiaan ke kota Palu, Sulawesi di sini hari ini.

Ketika diajukan soalan berkenaan perancangan kerajaan mahu memperkenalkan cukai baharu kononnya bagi membayar hutang negara, Asyraf Wajdi secara sinis mengucapkan tahniah kepada yang telah memilih PH.

“Sudah tentu (cukai baharu) akan membebankan rakyat,” katanya.

Sementara itu, sebanyak RM20,000 berjaya dikutip daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara untuk misi bantuan kemanusiaan ke kota Palu, Sulawesi.

Misi yang akan bertolak esok itu dikelola Sekretariat Profesio­nal Muda Pemuda UMNO di bawah Exconya, Datuk Dr. Najmil Faiz dan dijangka berada di Sulawesi sehingga 16 Oktober depan.

Asyraf Wajdi memberitahu, pasukan tersebut diketuai Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Akmal Saleh, melibatkan enam doktor perubatan, tiga sukarelawan penyelamat dan masing-masing seorang ahli farmasi serta ahli fisioterapi.

“Objektif kami dalam misi ini ada dua. Yang pertama ialah untuk membawa ubat-ubatan dan memberi rawatan kepada mangsa tercedera.

“Keduanya ialah melaksanakan misi membantu mencari mangsa masih tertimbus dan membantu pengurusan jenazah yang belum sempurna,” katanya.

Sehubungan itu, Asyraf Waj­di menyeru mana-mana pihak sama ada agensi kerajaan, korporat atau individu yang mahu menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun CIMB Pemuda UMNO Malaysia: 8000632311.