Mohammad Shatar Sabran
Mohammad Shatar Sabran

Walau bagaimanapun, hasrat penyokong DAP dan PKR untuk melihat hutang PTPTN dimansuhkan tidak kesampaian kerana andainya berkuasa sekalipun, janji populis itu digugurkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setelah melihat kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) menangani isu ini dengan dasar fleksibel kepada peminjam, Pakatan Harapan diketuai DAP tampil pula dengan janji menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan - cadangan yang tetap tidak realistik.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, sebarang janji yang ditaburkan mana-mana pihak dalam kempen pilihan raya perlulah mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk generasi yang akan datang.

"Bukan semua orang mampu untuk membiayai kos pendidikan tinggi, sebab itu kerajaan menyediakan bantuan dalam bentuk pinjaman oleh PTPTN.

"Namun jika cadangan pemansuhan pinjaman dilaksanakan, ia akan menjejaskan kedudukan kewangan PTPTN lalu memberi kesan negatif kepada ramai lagi anak muda yang mahu melanjutkan pelajaran kelak," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Selain itu, Mohammad Shatar turut memberitahu cadangan berbentuk fleksibiliti yang diutarakan Pakatan Harapan sebenarnya sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan kerana PTPTN sememangnya telah memberi kelonggaran kepada peminjam yang mempunyai masalah untuk membuat bayaran.

"Yang penting, peminjam maklumkan masalah mereka kepada PTPTN, bukan diam seribu bahasa. Jika berpatutan, pasti PTPTN akan bantu. Bukan perlu sehingga tunggu gaji RM4,000 baru bayar," katanya.

Untuk rekod, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu peminjam melunaskan bayaran seperti pengecualian bayaran balik buat siswazah yang lulus dengan ijazah kelas pertama, 20 peratus potongan atas baki hutang bagi penyelesaian penuh pinjaman dan lanjutan tempoh penangguhan bayaran balik kepada 12 bulan selepas tamat pengajian. - UTUSAN ONLINE