ASLAH ABDULLAH
ASLAH ABDULLAH

Dakyah-dakyah dalam portal propembangkang serta media sosial yang cuma menggambarkan pemandu-pemandu teksi keluar beramai-ramai ketika ucapan Perdana Menteri adalah antara pembohongan yang hendak dilemparkan.

Bahkan kekecohan yang timbul semasa penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia tidak mampu menidakkan betapa bersyukurnya majoriti golongan berkenaan dengan 19,000 kad diagihkan. 

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah berkata, majlis berkenaan menerima sambutan luar biasa dengan kebanjiran lebih 10,000 pemandu teksi di majlis tersebut.

“Desas-desus mengatakan bahawa semua pemandu teksi menolak Barisan Nasional (BN) adalah tidak tepat dan ia adalah propaganda yang cuba dilakukan oleh portal-portal propembangkang.

“Pemandu teksi tidak mahu dijadikan alat politik. Kita mungkin ada rungutan terhadap kerajaan BN namun tidak pernah membenci sama sekali kerana tahu apa yang telah diberikan oleh pentadbiran hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, bertempat di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Najib mengumumkan Bantuan Teksi 1Malaysia dalam bentuk kad prabayar bernilai RM800 kepada 67,000 pemandu teksi seluruh negara.

Gambaran yang cuba dilakukan dalam portal-portal propembangkang dan media sosial adalah pemandu-pemandu teksi beredar ketika Najib berucap namun hakikatnya dewan berkenaan melimpah ramai sehingga hadirin terpaksa berdiri.

Apabila majlis tamat, berlaku kekecohan kecil apabila sekumpulan pemandu teksi merempuh tempat untuk mengambil kad kerana tidak mahu menunggu giliran walaupun terdapat 60 kaunter disediakan.

Biarpun berlaku kekecohan, tindakan pantas membolehkan 30 pemandu yang cedera menerima rawatan segera manakala seorang daripadanya dibawa ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya dan kos perubatan individu terbabit ditanggung Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat ( SPAD).

Video kekecohan tersebut bagaimanpun dimanipulasi oleh portal-portal propembangkang  serta ada juga yang disunting menjadi gambar palsu di media sosial untuk menunjukkan seolah-olah semua pemandu teksi menolak kerajaan BN dalam PRU-14. - UTUSAN ONLINE