Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata, isu kedudukan orang Melayu dan masa depan Islam yang dikatakan akan terancam merupakan antara faktor utama penolakan terhadap Pakatan Harapan di negeri ini dan juga Kelantan.

"Di dua negeri Melayu ini, mereka cuma kenal UMNO dan Pas sahaja. Tentunya akan ambil masa untuk membolehkan mereka menerima kehadiran parti baharu.

"Sukar untuk tembusi kubu kedua-dua parti ini, dan tugas kita menjadi lebih sukar apabila isu bukan Islam kuasai negara dan Islam akan terancam dimainkan," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar ketika diminta mengulas mengapa gelombang perubahan nasional yang diperlihatkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seolah-olah terhenti di negeri ini dan Kelantan.

Kesemua 32 calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu di samping lapan calon bagi kerusi Parlimen yang bertanding atas tiket PKR tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dengan hampir kesemua mereka hilang wang deposit.

Katanya, dengan kepercayaan yang diberikan kepada Pakatan Harapan memerintah negara dan komitmen yang diitunjukkan untuk mencorak Malaysia Baharu, semakin ramai tampil untuk bersama dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan.

"Berlaku pengaliran masuk... malah ada dalam kalangan (orang politik) yang lama hilang, yang dikenali dan tidak dikenali muncul balik untuk bersama membantu memantapkan kedudukan di negeri ini. Ini suatu fenomena baharu," ujarnya.

Sementara itu mengulas mengenai kunjungan hormatnya ke atas Menteri Besar, Dr. Samsuri Mokhtar semalam, beliau menyatakan tentang  kesediaan Pakatan Harapan untuk berkerjasama dengan kerajaan Pas bagi kepentingan rakyat.

Beliau antara lain menyentuh mengenai projek mega yang terbengkalai dan terjejas seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Taman Ilmu, Zoo Kemaman dan Tasik Bebas Cukai Kenyir.

"Bagi menghormati kehendak rakyat Terengganu dan juga rakyat di peringkat nasional, kita harus bersedia duduk bersama demi kepentingan umum, dengan mengkesampingkan sentimen politik," ujarnya. - UTUSAN ONLINE