Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Johari Abdul berkata, keyakinan itu disuarakan berikutan ‘mood’ rakyat kini yang melihat Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri.

Menurutnya, rakyat juga tidak boleh menyamakan situasi kekalahan di dua PRK sebelum ini sebagai kayu pengukur di Rantau kerana Pakatan Harapan (PH) mempunyai kekuatan berikutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah kuota PKR.

“Kemenangan di Rantau penting kerana ia adalah penanda aras untuk melihat sokongan rakyat terhadap kepemimpinan Anwar sebelum Ahli Parlimen Port Dickson itu diberi kepercayaan mentadbir negara.

"Kita akan memastikan calon kita, Dr. S. Streram menang kerana ia akan memberi isyarat rakyat di kawasan itu yang menanti Anwar untuk menjadi Perdana Menteri," katanya ketika ditemui dalam Program Jelajah MPN di Kampung Tepi Laut, di sini hari ini.

Isnin lalu, PKR mengumumkan Streram yang juga timbalan Ketua Cabang PKR Rembau sebagai calon PH bagi PRK Rantau, sekali gus bakal bertemu Mohamad pada 9 April ini.

Mengulas mengenai kedua-dua calon tersebut, Johari menyifatkan Streram dan Mohamad mempunyai kekuatan masing-masing.

“Saya kenal dua-dua calon ini, Tok Mat (Mohamad) kawan semasa di universiti, manakala Streram pula kawan dalam PKR. Dua-dua ada kekuatan tetapi kelebihan pada kita (PKR),” ujarnya. -UTUSAN ONLINE