Ketua Pengarah ROS, Datuk Mo­hammad Razin Abdullah berkata, pihaknya ada menerima permohonan daripada pihak Mohd. Ezam untuk menukar Ahli Majlis Ter­tinggi parti tersebut termasuk nama asal kepada PBR, selain menggunakan logo baharu.

Bagaimanapun katanya, setelah diteliti, terdapat keraguan da­lam permohonan yang dibuat melalui Setiausaha Agung Parti Generasi Baru, S. Gobi Krishnan pada 31 Mac lalu iaitu lokasi Mes­yuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang tidak wujud dan status dua ahli jawatankuasa meragukan.

“Dalam permohonan yang dihantar oleh Gobi Krishnan, ada menyatakan lokasi EGM pada 30 Mac dibuat di pejabat parti itu di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, bagaimanapun selepas disiasat, premis itu bukan pejabat parti, sebaliknya merupakan kedai jubin yang beroperasi sejak setahun lalu.

“Dalam permohonan tersebut turut disenaraikan 12 ahli jawatankuasa parti, selepas disemak 10 individu sememangnya sah, namun dua lagi meragukan iaitu seorang merujuk kepada individu lain dan seorang lagi pula individu yang tidak wujud,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 17 April lalu, Presiden Parti Generasi Baru, Datuk G. Kumar mendakwa, partinya telah dirampas oleh Mohd. Ezam dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dengan menukar nama parti itu kepada PBR tanpa pengetahuannya dan persetujuan lebih 300 ahli parti itu.

Menurut Mohamad Razin, segala pergerakan ‘parti baharu’ itu didapati meragukan dan dalam kea­daan tergesa-gesa kerana mes­kipun EGM dibuat pada pukul 8 malam pada 30 Mac, permohonan pertukaran telah dihantar kepada ROS pada sebelah pagi 31 Mac lalu.

“ROS juga mendapati terdapat unsur penipuan dalam permohonan yang dibuat kerana tandatangan Timbalan Presiden terdahulu tidak seperti tandatangan asal dan dipercayai telah ditiru untuk kepentingan tertentu,” katanya.

Mohammad Razin berkata, pihaknya ada menghantar surat berdaftar kepada parti berkenaan, namun surat itu dikembalikan dan kehadiran pegawai penyiasat ROS ke premis berkenaan mengesahkan alamatnya merupakan kedai jubin.

“Sekarang ROS sedang mela­kukan siasatan berhubung ke­sahi­han EGM yang diadakan. Kita akan panggil semua pihak terma­suk Mohd. Ezam untuk siasatan lanjut, sehubungan itu penggunaan PBR dan logo baharu untuk sebarang aktiviti tidak dibenarkan sehingga siasatan selesai.

“Sekiranya melanggar arahan tersebut, mereka boleh didakwa mengikut Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan denda sehingga RM2,000. Jika bukti ku­kuh mendapati terdapat unsur penipuan dalam permohonan yang dibuat, Parti Generasi Baru juga boleh dibatalkan pendaftaran,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Ra­zin juga mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima laporan daripada kepimpinan asal Parti Generasi Baru iaitu melalui Kumar yang memaklumkan perkara itu berlaku tanpa pengetahuannya kerana tiada sebarang mesyuarat atau notis dibuat.