TUAN IBRAHIM
TUAN IBRAHIM

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana di dalam Perkara 53 Fasal 7 undang-undang tersebut, kedudukan ketiga-tiga Exco Pas iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib terletak di bawah kuasa Sultan Selangor.

“Pas tidak berselindung di sebalik rakyat, bagi kita rakyat penting dan pentadbiran berjalan dengan lancar dan kita tidak mahu mengganggu kelancaran kerajaan negeri Selangor.

“Kita mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 di mana Exco Pas dilantik oleh Sultan Selangor dan kita akan tunggu perkembangan selanjutnya,” katanya ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat di sini hari ini.

Kedudukan tiga Exco Pas dalam kerajaan negeri Selangor menjadi persoalan selepas Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas juga tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor untuk meletakkan jawatan sebagaimana yang didakwa oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

“Pas tidak pernah mengeluarkan arahan sebegitu kepada mana-mana ADUN di Selangor,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, keputusan Majlis Syura Ulama Pas untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR telah dibahas, dibincang dan sewaktu usul dikemukakan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-63 yang lalu para perwakilan semuanya berdiri tanda bersetuju.

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan

“Jadi tidak timbul adanya ahli Pas sendiri tidak gembira dengan keputusan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PKR tidak membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan tiga Exco Pas di dalam kerajaan negeri Selangor kerana mahu menunggu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pulang dari luar negara.

“PKR tidak buat keputusan lagi kerana mereka mahu menunggu Menteri Besar sebab perkara ini termaktub di dalam perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Pas tidak akan menghantar wakil untuk menghadiri kongres PKR yang akan diadakan pada 19 hingga 22 Mei ini di Peta­ling Jaya dan Shah Alam setelah kerjasama politik antara kedua-dua parti diputuskan.