Pengerusi ERC, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, pihaknya juga akan menjalankan kajian mengenai cadangan pendaftaran pemilih secara automatik serta cadangan had usia pemilih diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Beliau memberitahu, pihaknya telah diberi tempoh selama dua tahun untuk menjalankan kajian secara terperinci sebelum mengemukakan syor-syor untuk mewujudkan sistem dan undang-undang pilihan raya yang bersih, adil dan telus.

Katanya lagi, pihaknya juga akan mengkaji undang-undang dan sistem pilihan raya di negara-negara maju untuk mengangkat standard negara ini setara dengan standard antarabangsa.

“Kita akan bekerja bersungguh-sungguh dan saya ingin tengok undang-undang baharu ini dapat diguna pakai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE